"tinta dari ilham si kerdil yg mencari selautan MARDHATILLAH ini hanyalah pandangan diri saya dlm menjalani kehidupan harian...sedikit perkongsian diselitkan buat renungan bersama...penulisan ini tiada selain dari hanya..thalaban liridha ar rahman(mencari keredhaanNya) dan shirahan liqulubil ikhwan (menyenangkan hati sahabat2).."

..mg ALLAH mengampuniku dgn setiap pembacaan,ampuni keluargaku,ampuni muslimin muslimat keseluruhannya..

Tuesday, January 1, 2013

Asal Usul Syi'ah


Asal Usul Syi’ah
Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a.

Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.

Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
 
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya Husain.

Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah. Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang upacara memperingati kesyahidan Ali.

Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan prinsip-prinsipnya.

Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.

Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.
Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak muslimin.

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Sampai ke saat ini tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim, tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa ar-Ridha.

Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin. Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Umawiyyin.

Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan mazhab syi’ah sekarang.

Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang). Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya, lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Mereka sedar bahawa secara bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan, sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka akan berterusan.

Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.

Kembali kepada silsilah keturunan Talibiyyin, kita dapati setelah kewafatan Ali ar-Ridha yang dipilih oleh al-Ma’mun sebagai putera mahkota, muncul anaknya Muhammad al-Jawad. Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia pada tahun 220H. Muncul pula selepasnya anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi. Ali meninggal pada tahun 254H. muncul anaknya al-Hasan bin Ali yang mendapat gelaran al-‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Baliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad.

Dalam tempoh beberapa tahun berlalu, gerakan pemisah yang merupakan gabungan sekumpulan ahli bait dan sekumpulan syu’ubiyyin Parsi, mereka menyerahkan pucuk pimpinan kepada anak sulung kepada pemimpin Talibiyyin, bermula dari Ali ar-Ridha dan berakhir kepada al-Hasan al-‘Askariy. Adapun pemimpin sebelum Ali ar-Ridha seperti ayahnya Musa al-Kazim atau datuknya Jaafar as-Sadiq atau moyangnya Muhammad al-Baqir, tidak pernah memimpin mana-mana gerakan pemberontakan, sama ada ke atas pemerintahan Umawiy atau ‘Abbasiy.
Semasa kematian al-Hasan al-‘Askariy pada tahun 260H, puak pemberontak berada dalam kebingungan; siapakah yang akan dilantik sebagai pemimpin mereka? Al-Hasan al-‘Askariy hanya meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini ikut meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syari’ah dan akidah.

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan kelompok ini adalah al-Ithna ‘Asyariyyah. Inilah kelompok yang wujud sekarang di Iran, Iraq dan Lubnan. Dan inilah kelompok syi’ah yang paling besar pada masa kini.

Para pemimpin golongan ini mula menempelkan kepada Islam perkara-perkara yang bersesuaian dengan situasi yang mereka hadapi waktu itu dan perkara-perkara yang menjamin kelangsungan gerakan mereka, khususnya di kala ketiadaan pemimpin bagi kumpulan mereka
Sesungguhnya mereka telah menokok tambah ke dalam agama Islam perkara-perkara bid’ah yang sangat berbahaya. Mereka mendakwa apa yang ditokok tambah itu merupakan bahagian yang tidak terpisah dari Islam. Dan bid’ah-bid’ah itu akhirnya menjadi akidah yang membentuk susuk tubuh mereka. Antara bid’ah itu ada yang secara khusus berkaitan dengan imamah (kepimpinan dalam agama). Mereka mahu menyelesaikan masalah ketiadaan pemimpin pada masa itu, maka mereka berkata pemimpin hanyalah 12 orang sahaja. Pemimpin-pemimpin itu secara tertibnya adalah terdiri dari:
1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Mahdi
11. Muhammad al-Mahdi
12. Al-Hasan al-‘Askariy

Dari sini kumpulan ini dikenali sebagai al-Ithna ‘Asyariyyah. Dan untuk memberikan pentafsiran terhadap berakhirnya imam-imam, mereka mendakwa bahawa anak kecil Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia. Pada pegangan mereka, dia itulah al-Mahdi al-Muntazar. Mereka mendakwa juga bahawa Rasulullah s.a.w. telah berwasiat dengan menyebut nama-nama imam yang 12 itu, tetapi para sahabat menyembunyikannya. Kerana itulah mereka mengkafirkan para sahabat keseluruhannya atau memfasiqkan sebahagian daripada mereka. Alasannya ialah para sahabat telah menyembunyikan wasiat mengenai nama-nama imam mereka. Kemudian mereka memasukkan ke dalam Islam konsep perwarisan dalam sistem pemerintahan. Menurut mereka, imam mestilah dilantik dari kalangan anak lelaki yang sulung bermula daripada Ali bin Abi Talib diikuti dengan imam-imam selepasnya. Fahaman seperti ini, seperti sedia maklum, tidak ada dalam ajaran Islam. Sehingga negara-negara Islam yang diperintah oleh ahli sunnah yang mengamalkan sistem perwarisan seperti dinasti umayyah, ‘abbasiyyah, saljuqiyyah, ayubiyyah dan uthmaniyyah, mereka tidak pernah mendakwa bahawa perwarisan ini adalah ajaran agama. Mereka tidak pernah berkata bahawa khalifah mesti dilantik dari kalangan ahli keluarga tertentu sahaja.

Syi’ah juga telah memasukkan fahaman yang berasal dari ajaran Parsi mengenai masalah mentaqdis (memuja) ahli keluarga pemerintah. Mereka mendakwa imam-imam adalah maksum dan semua imam-imam yang telah disenaraikan nama-nama mereka itu terpelihara dari kesalahan dan dosa. Natijahnya mereka mengambil kata-kata imam itu seperti al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bahkan kebanyakan kaedah-kaedah fiqh dan asas-asas perundangan mereka sekarang adalah berlandaskan kata-kata imam-imam mereka, sama ada kata-kata itu benar-benar pernah dilafazkan oleh imam-imam itu atau dinisbahkan kepada mereka secara palsu. Dan lebih daripada itu, al-Khomaini, pemimpin revolusi Iran telah menulis di dalam kitabnya ‘Al-Hukumah al-Islamiyyah” (kerajaan Islam): “…. Sesungguhnya antara asas penting dalam mazhab kita ialah: bagi imam-imam kita maqam (kedudukan) yang tidak dicapai oleh malaikat muqarrabin dan tidak dicapai oleh nabi yang mursal (yang diutus)!! Mereka sangat memusuhi semua sahabat (kecuali segelintir yang bilangannya tidak lebih dari 13 orang). Permusuhan ini termasuklah terhadap sebahagian daripada ahli bait seperti al-‘Abbas bapa saudara Rasulullah s.a.w. dan puteranya Abdullah bin al-‘Abbas r.a. Dan sebab mereka memusuhi dan mengkafirkan dua beranak ini adalah perselisihan antara kumpulan Ithna ‘Asyariyyah dengan khilafah al-‘Abbasiyyah.

Antara bid’ah mereka juga, mereka menghukum kebanyakan negeri-negeri Islam sebagai negeri kafir. Mereka mengkafirkan penduduk Mekah dan Madinah, Syam dan Mesir. Mereka mengeluarkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama. Kata-kata ini terdapat di dalam sumber rujukan mereka yang asli seperti al-Kafi, Bahr al-Anwar, Tafsir al-Qummiy, Tafsir al-‘Ayyasyi, al-Burhan dan lain-lain.

Ekoran dari itu mereka menolak semua ulamak sunnah. Mereka menolak kitab-kitab hadis dan sunnah yang sahih. Bagi mereka, tiada Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, dan an-Nasaei. Tiada Abu Hanifah, Malik, asy-Syafiei atau Ahmad bin Hanbal. Demikian juga, tidak ada pada mereka Khalid bin al-Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar bin Abdul Aziz, Musa bin Nusair, Nurud-Din Mahmud, Salahud-Din, Qataz, Muhammad al-Fatih dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak sahabat r.a., at-Tabi’in, kitab-kitab hadis dan tafsir, maka mereka berpegang dengan kata-kata yang nisbahkan kepada imam-imam mereka. Kata-kata itu dari segi periwayatannya amat-amat lemah. Lantaran itu juga lahir di kalangan mereka bid’ah–bid’ah yang munkar dengan begitu banyak sekali sama ada dalam bab akidah, ibadah, muamalah dan lain-lain. Bukan tujuan kita di sini untuk menghitung bid’ah mereka kerana itu memerlukan penulisan yang berjilid-jilid. Tujuan kita hanya sekadar untuk menunjukkan punca masalah sahaja agar senang bagi kita memahami natijah daripadanya. Sesungguhnya bid’ah yang dicetuskan oleh mereka tidak terhitung banyaknya. Antaranya taqiyyah, raj’ah, tuduhan yang mengatakan al-Quran diselewengkan, upacara memperingati hari syahidnya al-Husain bin Ali dan banyak lagi.

Apa yang diperkatakan di atas adalah sebahagian daripada fikrah firqah Ithna ‘Asyariyyah. Di sana terdapat banyak lagi firqah yang muncul pada masa itu, khususnya masa yang dikenali sebagai ‘hirah asy-syi’ah’ (kebingungan syi’ah) yang bermula pada pertengahan kurun ke tiga hijriyyah, selepas kewafatan al-Hasan al-‘Askariy (Imam mereka yang ke 12)

Bermula dari zaman itu lahirlah kitab-kitab dan karangan-karangan yang ditulis untuk memperteguhkan fikrah dan akidah mereka. Fahaman mereka tersebar dengan meluasnya di negeri Parsi khasnya dan di negeri-negeri Islam lain amnya. Namun tidak ada negara yang didirikan pada masa itu menjadikan fikrah ini sebagai asas kerajaannya secara rasmi. Tetapi pada akhir kurun ke 13 hijriyyah dan permulaan kurun ke 14, dengan beberapa kejadian dan perkembangan yang berlaku mereka dapat telah sampai ke tampok pemerintahan di sesetengah negara umat Islam.

Dipetik dari tulisan Dr. Ragheb ElSergany
Pengendali laman web: www.islamstory.com
..people dont care how much we know untill they know how much we care..

_ISLAM MILIK BERSAMA_

0 pesanan:

 

Ilham Al Adwa' Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template